Perceraian Secara Khuluk : Prosedur dan
Pengamalannya
Oleh : Roslinah binti Mahmud
Peguam Syarie Wilayah Persekutuan
Blog : roslinahmahmudco.blogspot.com
G Khuluk : Definisi, Konsep,
Peruntukan Perundangan dan Pengamalannya
@ Dalil Pensyariatan
Perkahwinan dan Perceraian Menurut Hukum Syarak
Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah swt ialah
cerai!
Justeru, perceraian itu tertakluk kepada hukum asas
Hukum Syarak yang 4, iaitu, harus, sunat, makruh dan haram.
Perkahwinan di dalam Islam, adalah suatu ikatan yang
kuat atau kukuh atas nama Allah swt. Ini sebagaimana yang difirmankan oleh
Allah swt di dalam surah al Nisa, ayat
20 – 21, yang bermaksud,
“Dan jika kamu hendak mengambil isteri menggantikan
isteri lama kamu yang kamu ceraikan sedangkan kamu telah pun memberi kepadanya
harta yang banyak maka janganlah kamu mengambil sedikit pun daripada harta itu.
Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan yang menyebabkan
dosa yang nyata. Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu
padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu sama lain dan mereka pula
telah pun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu.”
Al Quran menjadi sumber utama proses perkahwinan dalam
Islam, misalnya melalui surah al Rum, ayat 21. Di mana di dalam surah ini Allah
swt menerangkan tentang maksud sebuah perkahwinan yang sebenar, iaitu maksud
ayat seperti berikut,
“Dan antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia
menciptakan untukmu suami isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu
cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan olehNya di antaramu rasa
kasih sayang.”
Menurut Najibah Mohd Zin, dalam Undang-undang Keluarga
(Islam) Jilid 14, ayat di atas merupakan inti pati kepada penyempurnaan hak dan
tanggungjawab yang seharusnya dilakukan oleh setiap individu dalam keluarga
dalam melahirkan perasaan kasih sayang. Hubungan ini bukan hanya melibatkan
hubungan jiwa antara pasangan tersebut, tetapi yang paling penting ialah
hubungan keimanan dan ketaatan kepada Allah swt yang menunjukkan bahawa tujuan
penciptaan manusia lelaki dan wanita merupakan perencanaan Allah swt supaya
manusia dapat berkembang biak atas sistem yang sempurna sebagaimana yang telah
digariskan dalam Hukum Syarak.
Perkahwinan dilihat sebagai suatu perkara yang sangat
dituntut dalam memastikan sistem yang telah disusun oleh Allah swt untuk umat
manusia berjalan dengan teratur dan sempurna. Sebagaimana dalam hadith baginda
Rasulullah saw yang bermaksud,
“Apabila ada antara kamu yang mampu kahwin hendaklah ia
berkahwin, kerana nanti matanya akan lebih terjaga dan kemaluannya akan lebih
terperlihara dan apabila ia belum mampu kahwin hendaklah ia berpuasa kerana
puasa akan mengawal nafsunya.”
Manakala, dalam konteks lain Rasulullah saw juga ada
bersabda yang bermaksud,
“Demi Allah, bukanlah aku ini orang yang paling taqwa
kepada Allah. Tetapi aku tetap berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur dan
berkahwin. Sesiapa membenci sunnahku, bererti dia bukan daripada umatku.”
@ Dalil Pensyariatan
Perceraian Secara Khuluk dalam Hukum Syrak
Khuluk menurut bahasa adalah bererti melepaskan atau
menanggalkan. Apabila seorang suami menceraikan isterinya bererti suami itu
telah menanggalkan atau melepaskan isteri tersebut daripadanya, yang mana
isteri itu dianggap sebagai pakaian suami dan suami adalah pakaian isteri. Ini
adalah sebagaimana firman Allah swt di dalam surah al Baqarah, ayat 187, yang
bermaksud,
“Mereka (isteri-isteri) itu adalah pakaian kamu (suami)
dan kamu adalah pakaian mereka (isteri).”
Dalam pada itu, khuluk juga disebut “tebusan” kerana
isteri yang minta khuluk untuk menebus dirinya dengan sesuatu yang diberikan
kepada suaminya supaya dia diceraikan.
Manakala menurut istilah ulama fiqah, ialah perceraian
daripada suaminya atas isterinya dengan tebusan yang diterima oleh suami.
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, isteri Tsabit bin
Qais datang berjumpa dengan baginda Rasulullah saw sambil berkata, “Wahai
Rasulullah, Tsabit bin Qais tidak aku mencerca budi perkerti dan agamanya,
tetapi aku tidak suka (benci) kekufuran dalam Islam. Maka, Rasulullah saw,
“Adakah kamu sanggup menyerah kembali kebunnya (yang telah dia berikan kepadamu
dahulu sebagai mas kahwinnya?)”. Isteri Thabit menjawab, “Ya.” Rasulullah saw
pun berkata kepada Thabit, “Terimalah kebun itu dan cerailah dia dengan satu
talak.”
Khuluk, hukumnya adalah makruh, iaitu suatu perbuatan
yang dibenci oleh Allah swt, kecuali dengan sebab-sebab yang diharuskan oleh
syarak. Misalnya, suami memiliki kecacatan badannya atau jahat akhlaknya, suami
atau isteri tidak melaksanakan kewajipan masing-masing selaku seorang suami
atau isteri, dan isteri takut melanggar hukum Allah swt kerana taat kepada
suaminya.
Perceraian secara khuluk ini dikategorikan sebagai
cerai talak ba’in, iaitu talak atau perceraian yang tidak harus dirujuk tetapi
harus berkahwin semula dalam idah atau selepas idah.
Menurut pendapat jumhur ulama, khuluk yang dilakukan
tanpa sebab yang diharuskan oleh syarak, hukumnya adalah makruh. Manakala,
sebahagiannya pula berpendapat bahawa khuluk yang dilakukan tanpa sebab yang
diharuskan oleh hukum syarak, maka hukumnya adalah haram. Pendapat ini
berdasarkan hadith Rasulullah saw, yang diriwayatkan daripada Imam Ahmad dan
al-Nasa’i daripada Abu Hurairah r.a,
“Sesungguhnya wanita-wanita yang melakukan khuluk
(tebus talak) merekalah kaum wanita yang benar-benar munafik.” (Riwayat
al-Tirmizai, no. 1186)
Dalam pada itu, khuluk mempunyai rukun-rukun
sebagaimana nikah dan talak juga. Dan antara rukun-rukunnya ialah,
i. Suami yang sah talaknya mengikut
syarat-syarat talak. Tidak sah khuluk suami yang masih kanak-kanak atau gila
atau dipaksa;
ii. Isteri yang sah menguasainya hartanya.
Tidak sah khuluk isteri yang ditahan hartanya, atau isteri yang bodoh, atau
isteri yang tidak siuman;
iii. Budhu’ (kemaluan) isteri yang telah
menjadi milik suami. Tidak sah khuluk jika isteri itu belum menjadi milik
suaminya, seperti perempuan yang akan dikahwini. Dengan erti kata lain,
perempuan tersebut belum menjadi isterinya, atau perempuan yang sudah ditalaki
dengan talak ba’in. Walau bagaimanapun, bagi isteri yang masih dalam idah
raj’i, sahlah khuluk tersebut;
iv. Sighah (lafaz). Lafaz khuluk ini
hendaklah dengan lafaz sarih, yang mengandungi ijab dan qabul. Ini menjadi
syarat sah khuluk.
Ijab qabul dalam lafaz khuluk ini samalah juga dengan
lafaz ijab qabul dalam hukum jual beli. Antara syarat-syarat ijab qabul dalam
lafaz khuluk ialah,
i. tidak boleh diselangi dengan
perkataan-perkataan yang tidak berkaitan dengan lafaz khuluk;
ii. tidak
boleh diselangi oleh diam yang lama lebih dari had masa;
iii. mestilah
bersama maksud antara ijab qabul.
Khuluk boleh dilakukan pada waktu suci atau haid.
Khuluk tidak terikat dengan waktu dan masa. Allah swt menetapkan masa khuluk
secara mutlak tanpa menentukan waktu yang tertentu.
Firman Allah swt, dalam surah al Baqarah, ayat 229 yang
bermaksud,
“Tidak berdosa atas kedua-duanya (suami isteri)
mengenai tebusan yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya.”
Rasulullah saw juga menetapkan khuluk secara mutlak
terhadap Thabit bin Qais. Baginda tidak menanyakan adakah isterinya sedang haid
atau suci.
Larangan menjatuhkan talak sewaktu isteri sedang haid
ialah supaya suami tidak melanjutkan masa idah. Dalam masalah khuluk ini, yang
meminta cerai adalah isteri dengan membayar tebus talak, dan isteri itu rela
menjalani idah dalam masa yang lama.
Mengikut nas hadis, idah bagi isteri-isteri yang khuluk
tidak dikira mengikut idah quru’ atau idah bulan (tiga kali suci atau tiga
bulan), tetapi idahnya adalah satu kali haid.
Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah saw yang
diriwayatkan daripada Rubayyi binti Mu’awwiz r.ha, bahawa Tsabit bin Qais bin
Syammas ra telah memukul isterinya, Jamilah binti Abdullah bin Ubay r.ha,
sehingga patah tangannya. Lalu saudara lelakinya pergi menemui Rasulullah saw bagi
mengadukan hal itu kepada baginda. Maka, baginda Rasulullah saw bersabda kepada
Tsabit r.a,
“Ambillah (semula mas kahwin) yang menjadi haknya ke
atasmu, dan ceraikanlah dia.” Beliau menjawab, “Ya.” Maka Rasulullah saw
menyuruh isteri Tsabit (Jamilah) supaya beridah dengan satu kali haid, kemudian
dia bolehlah kembali kepada keluarganya.” (Riwayat al Nasa’i, no. 3497)
Walau bagaimanapun, menurut pendapat jumhur ulama,
bahawa isteri yang khuluk itu, jika dia daripada mereka yang kedatangan haid
maka idahnya adalah tiga kali suci.
@ Pembayaran Khuluk
Dalam surah al Baqarah, ayat 229, Allah swt berfirman
yang bermaksud,
“Talak (yang dapat dirujuk) dua kali. Setelah itu,
boleh rujuk lagi dengan cara yang makruf atau menceraikan dengan cara yang
baik. Tidak halal bagi kamu mengambil kembali dari sesuatu yang telah kami
berikan kepada mereka, kecuali kalau keduanya khuatir tidak akan dapat
menjalankan hukum-hukum Allah. Jika kamu khuatir bahawa keduanya (suami isteri)
tidak dapat menjalankan hukum-hukum Allah, maka tidak ada dosa atas keduanya
tentang bayaran yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya. Itulah
hukum-hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarnya. Barang siapa yang
melanggar hukum-hukum Allah, maka mereka itulah orang yang zalim.”
Ayat ini menjadi dasar hukum perceraian secara khuluk
dan penerimaan iwad. Khuluk, iaitu tebus talak, adalah permintaan cerai kepada
suami dengan pembayaran yang disebut iwad.
Khuluk tidak semestinya dibayar oleh isteri kepada
suami mengikut jenis atau kadar nilai mas kahwin. Tetapi khuluk itu harus
dibayar mengikut persetujuan kedua-dua belah pihak (suami isteri) sama ada
dibayar mengikut jenis dan kadar nilai mas kahwin, atau dibayar sebahagiannya,
atau dibayar dengan harta yang lain. Sedikit atau banyaknya terserah kepada
kedua-dua belah pihak suami isteri.
Tegasnya, khuluk itu harus dibayar dengan harta benda,
tunai atau berhutang, atau dengan sesuatu yang memberi faedah dan manfaat.
Dengan erti kata lain, setiap barang yang harus dijadikan mas kahwin, harus pula
dijadikan pembayaran dalam khuluk.
Ini berdasarkan maksud umum firman Allah swt di dalam
surah al Baqarah, ayat 229, yang bermaksud,
“Maka tidak berdosa atas kedua-duanya (suami isteri)
mengenai bayaran yang diberikan oleh isteri kepada suaminya.”
Sekiranya tidak dapat persetujuan di antara suami
isteri mengenai pembayaran khuluk, maka antara penyelesaiannya ialah
menyerahkan perkara ini kepada hakim mahkamah syariah. Ini kerana hakim adalah
berkuasa menetapkan dan memutuskan kadar bayaran khuluk tersebut berdasarkan
budi bicaranya.
Ini adalah sebagaimana hadis riwayat Ibnu Abbas
mengenai peristiwa isteri Thabit bin Qais yang telah mengadukan halnya kepada
Rasulullah saw. Di mana baginda Rasulullah saw telah memutuskan supaya Thabit
menerima kembali kebun yang telah beliau berikan kepada isterinya sebagai mas
kahwin mereka dan seterusnya baginda Rasulullah memerintahkan Thabit
menceraikan isterinya. Di mana baginda Rasulullah saw bersabda, iaitu,
“Terimalah kebun itu, dan ceraikanlah dia dengan talak satu.”
(Riwayat al Bukhari, no. 4971)
Dalam pada itu, sekiranya berlaku keadaan suami
menerima bayaran khuluk lebih daripada mas kahwin yang telah dibayar oleh
isteri, maka menurut pandangan jumhur ulama, harus bagi suami tadi menerima dan
mengambil jumlah bayaran khuluk lebih daripada kadar bayaran mas kahwin yang
telah dibayar oleh suami kepada isteri.
Pendapat ini berdasarkan umum firman Allah swt, di
dalam surah al Baqarah, ayat 229 di atas. Surah al Baqarah ayat 229 ini tidak
menjelaskan mengenai kadar banyak bayaran khuluk yang harus diterima dan
diambil oleh suami, dan ayat ini juga tidak membataskan sedikit atau banyaknya
bayaran khuluk tersebut.
Tetapi sebahagian ulama berpendapat, bahawa suami itu
tidak harus minta lebih dan menerima bayaran khuluk daripada mas kahwin yang
telah diberikan oleh suami kepada isterinya.
Pendapat ini berdasarkan hadis daripada Abu Zubir,
bahawa dia memberi mas kahwin kepada isterinya sebidang kebun dan isterinya
meminta supaya Abu Zubir menceraikannya. Maka Rasulullah saw, menyuruh isteri
Abu Zubir tersebut membayar khuluk kepada Abu Zubir tersebut. Baginda
Rasulullah saw bersabda,
“Adakah kamu sanggup menyerah kembali kepadanya
kebunnya yang telah dia berikan kepadamu (sebagai mas kahwinmu dahulu)?. Wanita
itu menjawab, “Ya. Bahkan, saya akan memberi kepadanya lebih daripada itu.”
Lalu Nabi saw bersabda, “Adapun yang lebih itu, maka tidak perlu kamu berikan.
Cuma serahkan kebunnya sahaja.” Wanita itu menjawab, “Ya”. (Riwayat al Baihaqi,
no. 15247)
Suami yang tidak melaksanakan kewajipannya sebagai
suami dan menyakiti dengan tujuan supaya isteri itu membayar wang tebus talak
(khuluk), khuluknya adalah batal (tidak sah).
Dalam keadaan suami tidak melaksanakan kewajipannya
sebagai suami dan menyakiti isterinya dengan tujuan supaya isteri itu membayar
wang tebus talak (khuluk), khuluknya adalah batal (tidak sah) sekalipun khuluk
tersebut telah dipersetujui dan diputuskan.
Perbuatan suami sedemikian adalah haram, kerana suami itu
telah merampas harta isterinya dengan memaksa isteri tersebut membayar wang
tebus talak, iaitu secara sengaja tidak melaksanakan kewajipan dan menyakiti
isteri tersebut.
Firman Allah swt dalam surah al Nisa, ayat 20, iaitu
yang bermaksud,
“Dan jika kamu hendak mengambil isteri baharu menggantikan
isteri lama yang kamu ceraikan sedangkan kamu telahpun memberikan kepada
seorang antara isteri yang kamu ceraikan itu harta yang banyak, maka janganlah
kamu mengambil sedikit pun daripada harta itu. Patutkah kamu mengambilnya
dengan cara yang tidak benar dan yang menyebabkan dosa yang nyata?”
Dalam keadaan isteri tidak dapat bersabar dan ia rasa
khuatir tidak dapat menjalankan hukum Allah swt sedangkan suaminya tidak mahu
menceraikannya sehingga mendesak supaya suaminya menceraikannya disebabkan tidak
tertanggung dengan tindakan ganas dan kekejaman suaminya, maka harus bagi
isteri tersebut membayar khuluk iaitu mengembalikan kepada suami apa yang telah
diberikan oleh suami kepadanya.
Ini berdasarkan firman Allah swt di dalam surah al
Baqarah ayat 229, yang bermaksud,
“Dan tidak halal bagi kamu mengambil balik sesuatu yang
telah kamu berikan kepada isteri-isteri yang diceraikan, kecuali jika keduanya (suami
– isteri) takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah swt, maka
tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran tebus talak yang diberikan oleh isteri
untuk menebus dirinya.”
@ Khuluk Sebagai Perceraian
Khuluk merupakan suatu keistimewaan yang menjadi hak
isteri dalam perkahwinan, berbeza dengan suami yang dikurniakan kuasa talak.
Ini bertepatan dengan firman Allah swt di dalam surah al Baqarah ayat 228, yang
bermaksud,
“Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti
kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang
sepatutnya.”
Ayat tersebut menerangkan bahawa para wanita mempunyai
hak yang seimbang dengan kewajipannya.
Umumnya, perundangan Islam memberikan kuasa kepada suami
untuk melafazkan talak. Perundangan Islam mengharuskan perceraian melalui talak
atas sebab-sebab tertentu.
Menurut jumhur ulama, khuluk termasuk dalam bahagian
talak, bukan termasuk bahagian fasakh. Manakala, dalam istilah fikah, khuluk
dinamakan talak ba’in, iaitu
mengikut pandangan sarjana perundangan syariah, Wahbah
al-Zuhaili, bahawa, adalah lebih baik jika talak berada dalam kekuasaan orang
yang berhati-hati dan lebih mementingkan keberkekalan hubungan perkahwinan. Pemakaian
undang-undang ini mengambil kira kekuatan emosi dan kewarasan akal orang yang
melafazkan talak tersebut. Ini kerana lafaz yang dibuat dalam keadaan yang
tidak waras tidak mempunyai kesan undang-undang. Contohnya, lafaz yang dibuat
dalam keadaan mabuk, marah yang bersangatan dan dalam keadaan tidak sedarkan
diri. Walaupun begitu, terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama,
tentang implikasi undang-undang dalam perkara tersebut. (Wahbah al-Zuhaili,
Fiqh al-Islami wa Asillatuhu, hlm. 477, 4882-486).
Menurut pandangan jumhur ulama, isteri yang diceraikan
dengan khuluk, tidak harus lagi diiringi dengan talak. Pandangan ini daripada
para ulama yang berpandangan bahawa khuluk itu talak atau menganggapnya sebagai
fasakh.
Kalangan ulama ini bersependapat bahawa, perceraian dengan
khuluk itu menjadikan isteri tadi itu sebagai ajnabiah atau sebagai asing bagi
suaminya. Justeru, isteri tersebut telah menjadi perempuan ajnabiah, maka tidak
harus lagi diiringi dengan talak.
@ Perbincangan
Apakah kadar penentu kepada pembayaran khuluk ini? Sama
ada pembayaran khuluk adalah berdasarkan kemampuan atau kemunasabahaan?
Jawapannya, adalah kemampuan. Mengapa? Berikut ini penjelasannya.
Pemakaian undang-undang tentang khuluk ini adalah
bersumberkan hadith yang menjadi rujukan dalam kes khuluk, iaitu hadis riwayat
al Bukhari, nombor 4971.
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, isteri Tsabit bin
Qais datang berjumpa dengan baginda Rasulullah saw sambil berkata, “Wahai
Rasulullah, Tsabit bin Qais tidak aku mencerca budi perkerti dan agamanya,
tetapi aku tidak suka (benci) kekufuran dalam Islam. Maka, Rasulullah saw
berkata, “Adakah kamu sanggup menyerah kembali kebunnya (yang telah dia berikan
kepadamu dahulu sebagai mas kahwinnya?)”. Isteri Thabit menjawab, “Ya.”
Rasulullah saw pun berkata kepada Thabit, “Terimalah kebun itu dan cerailah dia
dengan satu talak.”
Frasa ayat dan perkataan dalam sabda baginda
Rasulullah, iaitu “adakah kamu sanggup menyerah kembali kebunnya (yang telah
dia berikan kepadamu dahulu sebagai mas kahwinnya?”, membawa kepada konotasi
penafsiran berkenaan kemampuan si isteri untuk mengembalikan mas kahwin yang
pernah diterimanya di awal perkahwinan dengan si suami dahulu.
Hanya dengan kesanggupan, yang membawa kepada kemampuan
si isteri tadi dalam memulangkan mas kahwin kepada si suami sebagai tujuan
mengkhulukkan dirinya.
Dalam senario perkahwinan hari ini, kedapatan ramai di
kalangan masyarakat yang tidak mengikut kadar bayaran mas kahwin yang
ditetapkan oleh negeri masing-masing. Ada di kalangan masyarakat yang
menetapkan mas kahwin mengikut budi bicara sendiri, bahkan ada yang mengikut
tren semasa iaitu mas kahwin dalam bentuk harta alih, seperti sebentuk cincin
atau seutas rantai ataupun gelang tangan mahupun gelang kaki.
Justeru, khuluk tidak semestinya dibayar oleh isteri
kepada suami mengikut jenis atau kadar nilai mas kahwin.
Secara tegasnya, khuluk itu harus dibayar dengan harta
benda, tunai atau berhutang, atau dengan sesuatu yang memberi faedah dan
manfaat. Dengan erti kata lain, setiap barang yang harus dijadikan mas kahwin,
harus pula dijadikan pembayaran dalam khuluk.
Namun demikian, ianya bergantung kepada kemampuan si
isteri tadi. Ini kerana sekalipun mungkin nilaian mas kahwin tadi rendah atau
murah, namun sekiranya didapati si isteri tidak mampu untuk memberikan kepada
suami sebagai tujuan untuk mengkhulukkan dirinya, maka si isteri tadi tidaklah
patut dibebani dengan nilaian mas kahwin tadi atau yang setara dengannya.
Ini kerana, tiada isteri yang mahu mengkhulukkan
dirinya seandainya perkahwinan dengan suaminya itu tadi membawa kebahagian,
pastilah ada sebarang tekanan yang di hadapi oleh si isteri tadi disebabkan
oleh sikap atau perilaku si suami yang menyebabkan si isteri tidak mampu untuk
berterusan menanggung tekanan hidup dengan si suami.
Bukankah suami itu adalah pemimpin kepada isteri dan
ahli keluarganya, sebagaimana maksud firman Allah swt dalam surah al Nisa ayat
34,
“Kaum lelaki itu pemimpin wanita, oleh sebab Allah
telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan kerana lelaki
telah menafkahkan harta mereka.”
Justeru, bila berlaku keadaan si isteri itu
mengkhulukkan dirinya, pastilah si suami tadi sudah tidak mampu untuk menjadi
pemimpin isteri dalam rumah tangga mereka yang membawa kepada ketidaksefahaman
dan pecah belah di antara kedua suami isteri ini tadi.
Oleh yang demikian, dalam soal nilaian bayaran iwad,
iaitu tebusan, si isteri tidak harus dibebani dengan kadar bayaran yang tidak
mampu ditanggung olehnya. Sebagaimana maksud umum firman Allah swt dalam surah
al Baqarah, ayat 233, iaitu,
“...tidak dibebani seseorang itu melainkan setakat
kemampuannya.”
Sedangkan apa yang berlaku adalah juga disebabkan oleh
sikap dan perilaku suami yang sudah tidak mampu untuk memegang amanah dan
tanggungjawab sebagai seorang suami yang sewajarnya dalam konteks Hukum Syarak.
@ Jumlah Bayaran
Ayat 229 surah al Baqarah menjadi dasar hukum
perceraian secara khuluk dan penerimaan iwad, iaitu bayaran tebus talak
(khuluk).
Di mana perceraian melalui khulu ini memerlukan kepada
sejumlah bayaran yang dibayar oleh isteri kepada suami bagi tujuan melepaskan
dirinya daripada ikatan perkahwinan tersebut.
Bayaran ini juga menjadi elemen yang penting kerana
ianya merupakan inti pati kepada perceraian. Dalam hal ini, seorang suami yang
sememangnya mahukan perceraian adalah tidak boleh mengambil bayaran daripada
isterinya. Bahkan, seandainya si suami berbuat demikian, perbuatan suami sedemikian
adalah haram, kerana suami itu telah merampas harta isterinya dengan memaksa
isteri tersebut membayar wang tebus talak, iaitu secara sengaja tidak
melaksanakan kewajipan dan menyakiti isteri tersebut.
Firman Allah swt dalam surah al Nisa, ayat 20, iaitu
yang bermaksud,
“Dan jika kamu hendak mengambil isteri baharu
menggantikan isteri lama yang kamu ceraikan sedangkan kamu telahpun memberikan
kepada seorang antara isteri yang kamu ceraikan itu harta yang banyak, maka
janganlah kamu mengambil sedikit pun daripada harta itu. Patutkah kamu
mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan yang menyebabkan dosa yang
nyata?”
Secara umumnya, bolehlah dikatakan bahawa, bayaran yang
diperlukan untuk khuluk ialah sejumlah bayaran yang telah dibayar oleh suaminya
semasa aqad perkahwinan sebagaimana maksud hadis yang diriwataykan di atas. Apa
yang penting ialah terdapatnya sejumlah bayaran yang hendaklah dibuat bagi
membolehkan perceraian melalui khuluk berlaku. Ini merupakan antara pandangan
masyhur daripada beberapa mazhab dalam membezakan perceraian melalui khuluk dan
talaq.
@ Persetujuan Suami dalam
Perceraian Secara Khuluk
Selanjutnya, timbul persoalan sama ada kaedah
pembubaran melalui khuluk ini memerlukan atau tidak persetujuan pihak suami
untuk membolehkan mahkamah membubarkan perkahwinan tersebut?
Seandainya diteliti semula rantaian perkataan pada ayat
kedua yang disabdakan oleh baginda Rasulullah, iaitu, “terimalah kebun itu dan
cerailah dia dengan talak satu.”
Justeru, tidak timbul tentang persoalan kepada
keperluan persetujuan pihak suami dalam menerima perceraian melalui khuluk oleh
pihak isteri.
Dalam hal ini, para sarjana mengemukakan pandangan
bahawa ulama berselisih pendapat sama ada persetujuan suami adalah perlu dalam
perceraian melalui khuluk. Perselisihan ini berlaku disebabkan oleh tafsiran
kepada hadith di mana baginda Rasulullah saw memerintahkan Thabit mengambil
kebun dan menceraikannya isterinya, sebagaimana perihal hadith di atas. Ada
yang berpendapat perintah tersebut tidak bermaksud satu kewajipan, tetapi lebih
bersifat moral. Manakala, majoriti ulama berpendapat perintah tersebut adalah
suatu kewajipan yang wajib dipatuhi jika sudah tidak ada harapan untuk berbaik
semula.
@ Khuluk dari segi konteks
peruntukan perundangan
Di Malaysia, sebagaimana pandangan para sarjana
undang-undang keluarga Islam bahawa kebanyakan kes melibatkan shiqaq
diselesaikan melalui pelantikan dua orang hakam yang berakhir dengan pembayaran
daripada pihak isteri kepada suami dan suami menjatuhkan talak kepada isteri
dengan memberikan penekanan kepada persetujuan bersama dan bukan melalui kuasa
hakim, sebagaimana kes Che Pah lwn Siti
Rahmah (1976) 2 JH 244 dan kes Nerat lwn Ahmad (1965) 3 JH 101.
Undang-undang Keluarga Islam dikesemua negeri,
masing-masing ada memperuntukkan mengenai perceraian melalui tebus talak ini,
misalnya di Wilayah Persekutuan, melalui seksyen 49 (1), iaitu,
49. Perceraian
khul’ atau cerai tebus talaq.
(1) Jika
suami tidak bersetuju menjatuhkan talaq dengan kerelaanya sendiri, tetapi pihak-pihak
itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau cerai tebus talaq, Mahkamah
hendaklah selepas jumlah bayaran tebus talaq dipersetujui oleh pihak-pihak itu,
mengarahkan suami itu melafazkan perceraian itu dengan cara penebusan, dan
perceraian itu adalah ba’in sughra atau tidak boleh dirujuk.
Peruntukan di atas jelas meletakkan persetujuan
pihak-pihak untuk membolehkan perkahwinan tersebut dibubarkan.
Sekiranya suami tidak bersetuju untuk bercerai walaupun
melalui pembayaran, maka peruntukan di bawah seksyen 47 adalah terpakai, iaitu
prosedur perlantikan Jawatankuasa Pendamai atau hakam. Di bawah prosedur ini,
selalunya prosiding perceraian akan mengambil masa melainkan pihak-pihak
memberikan kerjasama yang baik, maka prosiding prosedur ini boleh selesai dalam
tempoh kurang dari 6 bulan, berdasarkan pengalaman para pengamal undang-undang
syariah.
Menurut para sarjana undang-undang keluarga Islam,
perceraian melalui khuluk atau tebus talaq ini dilihat tidak boleh menjadi
remedi yang berkesan buat si isteri. Justeru, menurut pandangan mereka,
pendekatan yang dipakai di negara-negara Islam yang lain seperti di Pakistan
dan Mesir yang memberi kuasa mutlak kepada mahkamah dan isteri boleh
mendapatkan perceraian melalui khul’ tanpa persetujuan suami adalah lebih
praktikal.
Dan sebenarnya, inilah maksud sebenarnya hadis yang
diriwayatkan oleh al Bukhari yang disabdakan oleh baginda Rasulullah saw yang
berbunyi,
“terimalah kebun itu dan cerailah dia dengan talak
satu.”
Sebab tiada pula diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah
ada bertanyakan tentang persetujuan Tsabit sama ada Tsabit tersebut bersetuju
atau tidak menerima kebun yang dikembalikan oleh isterinya, Jamilah, sebagai
bayaran mengkhulukan dirinya daripada menjadi isteri Tsabit tersebut.
Para sarjana melihat bahawa tidak dinafikan,
persetujuan pihak-pihak yang terlibat
adalah cara yang terbaik dalam proses perceraian. Walau pun sebenarnya, ianya
bukanlah suatu isu penting, ini kerana banyak perceraian yang direkodkan tidak
memerlukan kepada persetujuan pihak isteri dalam kes perceraian itu dimulakan
oleh suami, bahkan kerana itulah ada dikalangan suami yang menceraikan isteri dalam
keadaan isteri mengandung, lafaz talaq di luar mahkamah dan lafaz talaq melalui
media sosial. Apakah semasa suami melafazkan talaq di dalam situasi di atas,
persetujuan isteri ada ditanyakan? Pastinyalah, tidak! Disebabkan ini juga kes
perceraian itu semakin meningkat sebagaimana dalam suatu statistik yang dibuat
oleh para sarjana bahawa setiap 15 minit ada sahaja pasangan suami isteri yang
bercerai!
G Kesimpulan
Hakikatnya, selain daripada fasakh seorang isteri itu
masih mempunyai remedi tambahan untuk melepaskan dirinya daripada perkahwinan
yang dibina andainya dalam menjalani tanggungjawab sebagai seorang isteri itu
sudah tidak ada kebaikannya kepada agama dan masa depan si isteri tersebut
sekalipun mungkin si isteri masih sayangkan perkahwinan tersebut.
Secara realtinya, dalam pengamalan undang-undang
keluarga Islam, didapati bahawa perceraian melalui tebus talak atau khuluk ini
tidak boleh difailkan atau dimohon tanpa terlebih dahulu memohon perceraian
secara persetujuan bersama di bawah seksyen 47 undang-undang keluarga Islam
sebagaimana yang diperuntukkan di setiap negeri.
Sedangkan sekiranya difahami maksud peruntukan di bawah
seksyen 49 tersebut, secara keseluruhannya, isteri itu boleh memfaraqkan
perkahwinannya itu tadi melalui cara perceraian tebus talaq atau khuluk ini
tanpa perlu memohon perceraian di bawah seksyen 47 tersebut. Dalam erti kata
lain, permohonan boleh dibuat secara terus di bawah seksyen 49 ini.
Manakala, dalam konteks pembayaran dan kadar bayaran,
‘campur tangan’ mahkamah dalam mentaksirkan kadar dan jumlah bayaran yang patut
dan munasabah adalah dilihat sebagai suatu yang wajar dan praktikal bagi
mengelakkan kemudaratan di pihak isteri apabila berlaku keadaan suami tidak
menyetujui kadar pembayaran yang mampu diberikan oleh pihak isteri. Mahkamah
dalam hal ini boleh menaksirkan jumlah tersebut mengikut Hukum Syarak dengan
memberi pertimbangan kepada taraf dan sumber kewangan pihak-pihak, sebagaimana
peruntukan di bawah seksyen 49 (3).
Justeru, kesimpulannya, pembayaran khuluk itu haruslah
berdasarkan pertimbangan kemampuan seorang isteri dalam membuat pembayaran iwad
kepada si suami dalam melepaskan dirinya daripada perkahwinan bersama suami
tersebut.
Manakala, berkenaan persetujuan suami dalam konteks
perceraian secara khuluk ini, ianya adalah suatu yang terbuka kepada
penghujahan luas pihak-pihak yang terlibat dalam permohonan perceraian secara
khuluk ini. Walau bagaimanapun, sebagaimana maksud hadis yang diriwayatkan oleh
al Bukhari tersebut, ianya adalah suatu yang straight to point untuk difahami
bahawa baginda Rasulullah tidak meletakkan syarat sama ada Tsabit iaitu suami
kepada Jamilah, iaitu seorang perempuan yang membawakan permasalahan
perkahwinannya kepada Rasulullah pada masa itu, bersetuju atau tidak kepada
pengembalian balik kebunnya oleh Jamilah sebagai jumlah yang dipersetujui untuk
memfaraqkan perkahwinan keduanya melalui tebus talak atau khuluk.
Perkahwinan itu, bukan soal rasa dan perasaan
semata-mata, namun ianya adalah soal iman dan ketaqwaan. Tidaklah Allah swt itu
menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia tanpa hikmah. Sesungguhnya, hikmah
terbesar dalam perkahwinan seorang lelaki dan perempuan itu adalah tentang soal
agama, kerana perkahwinan itu melibatkan soal Hukum Syarak dalam melaksanakan
amanah dan tanggungjawab sebagai seorang suami dan isteri.
Perceraian dalam bentuk prosedur apa sahaja adalah
tentang soal pilihan, dan bukan eskapism dalam memikul amanah dan tanggungjawab
di sebalik ijab dan qabul lafaz ‘aku terima nikahnya’.
@ Rujukan
a. Akta Undang-Undang Keluarga Islam
(Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, Akta 303;
b. Soal
Jawab A – Z Tentang Munakahat, Datuk Dr. Hj Zahazan Mohamed;
c. Undang-undang
Keluarga (Islam) Najibah Mohd Zin; dan
d. Kes-kes
yang direkodkan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan