Ahad, 27 Ogos 2017

Perceraian Secara Khuluk : Prosedur dan Pengamalannya
Oleh : Roslinah binti Mahmud
Peguam Syarie Wilayah Persekutuan
Blog : roslinahmahmudco.blogspot.com

G  Khuluk : Definisi, Konsep, Peruntukan Perundangan dan Pengamalannya

@ Dalil Pensyariatan Perkahwinan dan Perceraian Menurut Hukum Syarak

Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah swt ialah cerai!

Justeru, perceraian itu tertakluk kepada hukum asas Hukum Syarak yang 4, iaitu, harus, sunat, makruh dan haram.

Perkahwinan di dalam Islam, adalah suatu ikatan yang kuat atau kukuh atas nama Allah swt. Ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt di dalam surah al Nisa, ayat 20 – 21, yang bermaksud,

“Dan jika kamu hendak mengambil isteri menggantikan isteri lama kamu yang kamu ceraikan sedangkan kamu telah pun memberi kepadanya harta yang banyak maka janganlah kamu mengambil sedikit pun daripada harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan yang menyebabkan dosa yang nyata. Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu sama lain dan mereka pula telah pun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu.”

Al Quran menjadi sumber utama proses perkahwinan dalam Islam, misalnya melalui surah al Rum, ayat 21. Di mana di dalam surah ini Allah swt menerangkan tentang maksud sebuah perkahwinan yang sebenar, iaitu maksud ayat seperti berikut,

“Dan antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu suami isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan olehNya di antaramu rasa kasih sayang.”

Menurut Najibah Mohd Zin, dalam Undang-undang Keluarga (Islam) Jilid 14, ayat di atas merupakan inti pati kepada penyempurnaan hak dan tanggungjawab yang seharusnya dilakukan oleh setiap individu dalam keluarga dalam melahirkan perasaan kasih sayang. Hubungan ini bukan hanya melibatkan hubungan jiwa antara pasangan tersebut, tetapi yang paling penting ialah hubungan keimanan dan ketaatan kepada Allah swt yang menunjukkan bahawa tujuan penciptaan manusia lelaki dan wanita merupakan perencanaan Allah swt supaya manusia dapat berkembang biak atas sistem yang sempurna sebagaimana yang telah digariskan dalam Hukum Syarak.

Perkahwinan dilihat sebagai suatu perkara yang sangat dituntut dalam memastikan sistem yang telah disusun oleh Allah swt untuk umat manusia berjalan dengan teratur dan sempurna. Sebagaimana dalam hadith baginda Rasulullah saw yang bermaksud,

“Apabila ada antara kamu yang mampu kahwin hendaklah ia berkahwin, kerana nanti matanya akan lebih terjaga dan kemaluannya akan lebih terperlihara dan apabila ia belum mampu kahwin hendaklah ia berpuasa kerana puasa akan mengawal nafsunya.”

Manakala, dalam konteks lain Rasulullah saw juga ada bersabda yang bermaksud,

“Demi Allah, bukanlah aku ini orang yang paling taqwa kepada Allah. Tetapi aku tetap berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur dan berkahwin. Sesiapa membenci sunnahku, bererti dia bukan daripada umatku.”

@ Dalil Pensyariatan Perceraian Secara Khuluk dalam Hukum Syrak

Khuluk menurut bahasa adalah bererti melepaskan atau menanggalkan. Apabila seorang suami menceraikan isterinya bererti suami itu telah menanggalkan atau melepaskan isteri tersebut daripadanya, yang mana isteri itu dianggap sebagai pakaian suami dan suami adalah pakaian isteri. Ini adalah sebagaimana firman Allah swt di dalam surah al Baqarah, ayat 187, yang bermaksud,

“Mereka (isteri-isteri) itu adalah pakaian kamu (suami) dan kamu adalah pakaian mereka (isteri).”

Dalam pada itu, khuluk juga disebut “tebusan” kerana isteri yang minta khuluk untuk menebus dirinya dengan sesuatu yang diberikan kepada suaminya supaya dia diceraikan.

Manakala menurut istilah ulama fiqah, ialah perceraian daripada suaminya atas isterinya dengan tebusan yang diterima oleh suami.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, isteri Tsabit bin Qais datang berjumpa dengan baginda Rasulullah saw sambil berkata, “Wahai Rasulullah, Tsabit bin Qais tidak aku mencerca budi perkerti dan agamanya, tetapi aku tidak suka (benci) kekufuran dalam Islam. Maka, Rasulullah saw, “Adakah kamu sanggup menyerah kembali kebunnya (yang telah dia berikan kepadamu dahulu sebagai mas kahwinnya?)”. Isteri Thabit menjawab, “Ya.” Rasulullah saw pun berkata kepada Thabit, “Terimalah kebun itu dan cerailah dia dengan satu talak.”

Khuluk, hukumnya adalah makruh, iaitu suatu perbuatan yang dibenci oleh Allah swt, kecuali dengan sebab-sebab yang diharuskan oleh syarak. Misalnya, suami memiliki kecacatan badannya atau jahat akhlaknya, suami atau isteri tidak melaksanakan kewajipan masing-masing selaku seorang suami atau isteri, dan isteri takut melanggar hukum Allah swt kerana taat kepada suaminya.

Perceraian secara khuluk ini dikategorikan sebagai cerai talak ba’in, iaitu talak atau perceraian yang tidak harus dirujuk tetapi harus berkahwin semula dalam idah atau selepas idah.

Menurut pendapat jumhur ulama, khuluk yang dilakukan tanpa sebab yang diharuskan oleh syarak, hukumnya adalah makruh. Manakala, sebahagiannya pula berpendapat bahawa khuluk yang dilakukan tanpa sebab yang diharuskan oleh hukum syarak, maka hukumnya adalah haram. Pendapat ini berdasarkan hadith Rasulullah saw, yang diriwayatkan daripada Imam Ahmad dan al-Nasa’i daripada Abu Hurairah r.a,

“Sesungguhnya wanita-wanita yang melakukan khuluk (tebus talak) merekalah kaum wanita yang benar-benar munafik.” (Riwayat al-Tirmizai, no. 1186)

Dalam pada itu, khuluk mempunyai rukun-rukun sebagaimana nikah dan talak juga. Dan antara rukun-rukunnya ialah,

i.          Suami yang sah talaknya mengikut syarat-syarat talak. Tidak sah khuluk suami yang masih kanak-kanak atau gila atau dipaksa;

ii.         Isteri yang sah menguasainya hartanya. Tidak sah khuluk isteri yang ditahan hartanya, atau isteri yang bodoh, atau isteri yang tidak siuman;

iii.       Budhu’ (kemaluan) isteri yang telah menjadi milik suami. Tidak sah khuluk jika isteri itu belum menjadi milik suaminya, seperti perempuan yang akan dikahwini. Dengan erti kata lain, perempuan tersebut belum menjadi isterinya, atau perempuan yang sudah ditalaki dengan talak ba’in. Walau bagaimanapun, bagi isteri yang masih dalam idah raj’i, sahlah khuluk tersebut;

iv.        Sighah (lafaz). Lafaz khuluk ini hendaklah dengan lafaz sarih, yang mengandungi ijab dan qabul. Ini menjadi syarat sah khuluk.

Ijab qabul dalam lafaz khuluk ini samalah juga dengan lafaz ijab qabul dalam hukum jual beli. Antara syarat-syarat ijab qabul dalam lafaz khuluk ialah,

i.          tidak boleh diselangi dengan perkataan-perkataan yang tidak berkaitan dengan lafaz khuluk;

ii.         tidak boleh diselangi oleh diam yang lama lebih dari had masa;

iii.       mestilah bersama maksud antara ijab qabul.

Khuluk boleh dilakukan pada waktu suci atau haid. Khuluk tidak terikat dengan waktu dan masa. Allah swt menetapkan masa khuluk secara mutlak tanpa menentukan waktu yang tertentu.

Firman Allah swt, dalam surah al Baqarah, ayat 229 yang bermaksud,

“Tidak berdosa atas kedua-duanya (suami isteri) mengenai tebusan yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya.”

Rasulullah saw juga menetapkan khuluk secara mutlak terhadap Thabit bin Qais. Baginda tidak menanyakan adakah isterinya sedang haid atau suci.

Larangan menjatuhkan talak sewaktu isteri sedang haid ialah supaya suami tidak melanjutkan masa idah. Dalam masalah khuluk ini, yang meminta cerai adalah isteri dengan membayar tebus talak, dan isteri itu rela menjalani idah dalam masa yang lama.

Mengikut nas hadis, idah bagi isteri-isteri yang khuluk tidak dikira mengikut idah quru’ atau idah bulan (tiga kali suci atau tiga bulan), tetapi idahnya adalah satu kali haid.

Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada Rubayyi binti Mu’awwiz r.ha, bahawa Tsabit bin Qais bin Syammas ra telah memukul isterinya, Jamilah binti Abdullah bin Ubay r.ha, sehingga patah tangannya. Lalu saudara lelakinya pergi menemui Rasulullah saw bagi mengadukan hal itu kepada baginda. Maka, baginda Rasulullah saw bersabda kepada Tsabit r.a,

“Ambillah (semula mas kahwin) yang menjadi haknya ke atasmu, dan ceraikanlah dia.” Beliau menjawab, “Ya.” Maka Rasulullah saw menyuruh isteri Tsabit (Jamilah) supaya beridah dengan satu kali haid, kemudian dia bolehlah kembali kepada keluarganya.” (Riwayat al Nasa’i, no. 3497)

Walau bagaimanapun, menurut pendapat jumhur ulama, bahawa isteri yang khuluk itu, jika dia daripada mereka yang kedatangan haid maka idahnya adalah tiga kali suci.

@ Pembayaran Khuluk

Dalam surah al Baqarah, ayat 229, Allah swt berfirman yang bermaksud,

“Talak (yang dapat dirujuk) dua kali. Setelah itu, boleh rujuk lagi dengan cara yang makruf atau menceraikan dengan cara yang baik. Tidak halal bagi kamu mengambil kembali dari sesuatu yang telah kami berikan kepada mereka, kecuali kalau keduanya khuatir tidak akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah. Jika kamu khuatir bahawa keduanya (suami isteri) tidak dapat menjalankan hukum-hukum Allah, maka tidak ada dosa atas keduanya tentang bayaran yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya. Itulah hukum-hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarnya. Barang siapa yang melanggar hukum-hukum Allah, maka mereka itulah orang yang zalim.”

Ayat ini menjadi dasar hukum perceraian secara khuluk dan penerimaan iwad. Khuluk, iaitu tebus talak, adalah permintaan cerai kepada suami dengan pembayaran yang disebut iwad.

Khuluk tidak semestinya dibayar oleh isteri kepada suami mengikut jenis atau kadar nilai mas kahwin. Tetapi khuluk itu harus dibayar mengikut persetujuan kedua-dua belah pihak (suami isteri) sama ada dibayar mengikut jenis dan kadar nilai mas kahwin, atau dibayar sebahagiannya, atau dibayar dengan harta yang lain. Sedikit atau banyaknya terserah kepada kedua-dua belah pihak suami isteri.

Tegasnya, khuluk itu harus dibayar dengan harta benda, tunai atau berhutang, atau dengan sesuatu yang memberi faedah dan manfaat. Dengan erti kata lain, setiap barang yang harus dijadikan mas kahwin, harus pula dijadikan pembayaran dalam khuluk.

Ini berdasarkan maksud umum firman Allah swt di dalam surah al Baqarah, ayat 229, yang bermaksud,

“Maka tidak berdosa atas kedua-duanya (suami isteri) mengenai bayaran yang diberikan oleh isteri kepada suaminya.”

Sekiranya tidak dapat persetujuan di antara suami isteri mengenai pembayaran khuluk, maka antara penyelesaiannya ialah menyerahkan perkara ini kepada hakim mahkamah syariah. Ini kerana hakim adalah berkuasa menetapkan dan memutuskan kadar bayaran khuluk tersebut berdasarkan budi bicaranya.

Ini adalah sebagaimana hadis riwayat Ibnu Abbas mengenai peristiwa isteri Thabit bin Qais yang telah mengadukan halnya kepada Rasulullah saw. Di mana baginda Rasulullah saw telah memutuskan supaya Thabit menerima kembali kebun yang telah beliau berikan kepada isterinya sebagai mas kahwin mereka dan seterusnya baginda Rasulullah memerintahkan Thabit menceraikan isterinya. Di mana baginda Rasulullah saw bersabda, iaitu,

“Terimalah kebun itu, dan ceraikanlah dia dengan talak satu.” (Riwayat al Bukhari, no. 4971)

Dalam pada itu, sekiranya berlaku keadaan suami menerima bayaran khuluk lebih daripada mas kahwin yang telah dibayar oleh isteri, maka menurut pandangan jumhur ulama, harus bagi suami tadi menerima dan mengambil jumlah bayaran khuluk lebih daripada kadar bayaran mas kahwin yang telah dibayar oleh suami kepada isteri.

Pendapat ini berdasarkan umum firman Allah swt, di dalam surah al Baqarah, ayat 229 di atas. Surah al Baqarah ayat 229 ini tidak menjelaskan mengenai kadar banyak bayaran khuluk yang harus diterima dan diambil oleh suami, dan ayat ini juga tidak membataskan sedikit atau banyaknya bayaran khuluk tersebut.

Tetapi sebahagian ulama berpendapat, bahawa suami itu tidak harus minta lebih dan menerima bayaran khuluk daripada mas kahwin yang telah diberikan oleh suami kepada isterinya.

Pendapat ini berdasarkan hadis daripada Abu Zubir, bahawa dia memberi mas kahwin kepada isterinya sebidang kebun dan isterinya meminta supaya Abu Zubir menceraikannya. Maka Rasulullah saw, menyuruh isteri Abu Zubir tersebut membayar khuluk kepada Abu Zubir tersebut. Baginda Rasulullah saw bersabda,

“Adakah kamu sanggup menyerah kembali kepadanya kebunnya yang telah dia berikan kepadamu (sebagai mas kahwinmu dahulu)?. Wanita itu menjawab, “Ya. Bahkan, saya akan memberi kepadanya lebih daripada itu.” Lalu Nabi saw bersabda, “Adapun yang lebih itu, maka tidak perlu kamu berikan. Cuma serahkan kebunnya sahaja.” Wanita itu menjawab, “Ya”. (Riwayat al Baihaqi, no. 15247)

Suami yang tidak melaksanakan kewajipannya sebagai suami dan menyakiti dengan tujuan supaya isteri itu membayar wang tebus talak (khuluk), khuluknya adalah batal (tidak sah).

Dalam keadaan suami tidak melaksanakan kewajipannya sebagai suami dan menyakiti isterinya dengan tujuan supaya isteri itu membayar wang tebus talak (khuluk), khuluknya adalah batal (tidak sah) sekalipun khuluk tersebut telah dipersetujui dan diputuskan.

Perbuatan suami sedemikian adalah haram, kerana suami itu telah merampas harta isterinya dengan memaksa isteri tersebut membayar wang tebus talak, iaitu secara sengaja tidak melaksanakan kewajipan dan menyakiti isteri tersebut.

Firman Allah swt dalam surah al Nisa, ayat 20, iaitu yang bermaksud,

“Dan jika kamu hendak mengambil isteri baharu menggantikan isteri lama yang kamu ceraikan sedangkan kamu telahpun memberikan kepada seorang antara isteri yang kamu ceraikan itu harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikit pun daripada harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan yang menyebabkan dosa yang nyata?”

Dalam keadaan isteri tidak dapat bersabar dan ia rasa khuatir tidak dapat menjalankan hukum Allah swt sedangkan suaminya tidak mahu menceraikannya sehingga mendesak supaya suaminya menceraikannya disebabkan tidak tertanggung dengan tindakan ganas dan kekejaman suaminya, maka harus bagi isteri tersebut membayar khuluk iaitu mengembalikan kepada suami apa yang telah diberikan oleh suami kepadanya.

Ini berdasarkan firman Allah swt di dalam surah al Baqarah ayat 229, yang bermaksud,

“Dan tidak halal bagi kamu mengambil balik sesuatu yang telah kamu berikan kepada isteri-isteri yang diceraikan, kecuali jika keduanya (suami – isteri) takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah swt, maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran tebus talak yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya.”

@ Khuluk Sebagai Perceraian

Khuluk merupakan suatu keistimewaan yang menjadi hak isteri dalam perkahwinan, berbeza dengan suami yang dikurniakan kuasa talak. Ini bertepatan dengan firman Allah swt di dalam surah al Baqarah ayat 228, yang bermaksud,

“Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya.”

Ayat tersebut menerangkan bahawa para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya.

Umumnya, perundangan Islam memberikan kuasa kepada suami untuk melafazkan talak. Perundangan Islam mengharuskan perceraian melalui talak atas sebab-sebab tertentu.

Menurut jumhur ulama, khuluk termasuk dalam bahagian talak, bukan termasuk bahagian fasakh. Manakala, dalam istilah fikah, khuluk dinamakan talak ba’in, iaitu
mengikut pandangan sarjana perundangan syariah, Wahbah al-Zuhaili, bahawa, adalah lebih baik jika talak berada dalam kekuasaan orang yang berhati-hati dan lebih mementingkan keberkekalan hubungan perkahwinan. Pemakaian undang-undang ini mengambil kira kekuatan emosi dan kewarasan akal orang yang melafazkan talak tersebut. Ini kerana lafaz yang dibuat dalam keadaan yang tidak waras tidak mempunyai kesan undang-undang. Contohnya, lafaz yang dibuat dalam keadaan mabuk, marah yang bersangatan dan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Walaupun begitu, terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama, tentang implikasi undang-undang dalam perkara tersebut. (Wahbah al-Zuhaili, Fiqh al-Islami wa Asillatuhu, hlm. 477, 4882-486).

Menurut pandangan jumhur ulama, isteri yang diceraikan dengan khuluk, tidak harus lagi diiringi dengan talak. Pandangan ini daripada para ulama yang berpandangan bahawa khuluk itu talak atau menganggapnya sebagai fasakh.

Kalangan ulama ini bersependapat bahawa, perceraian dengan khuluk itu menjadikan isteri tadi itu sebagai ajnabiah atau sebagai asing bagi suaminya. Justeru, isteri tersebut telah menjadi perempuan ajnabiah, maka tidak harus lagi diiringi dengan talak.

@ Perbincangan

Apakah kadar penentu kepada pembayaran khuluk ini? Sama ada pembayaran khuluk adalah berdasarkan kemampuan atau kemunasabahaan? Jawapannya, adalah kemampuan. Mengapa? Berikut ini penjelasannya.

Pemakaian undang-undang tentang khuluk ini adalah bersumberkan hadith yang menjadi rujukan dalam kes khuluk, iaitu hadis riwayat al Bukhari, nombor 4971.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, isteri Tsabit bin Qais datang berjumpa dengan baginda Rasulullah saw sambil berkata, “Wahai Rasulullah, Tsabit bin Qais tidak aku mencerca budi perkerti dan agamanya, tetapi aku tidak suka (benci) kekufuran dalam Islam. Maka, Rasulullah saw berkata, “Adakah kamu sanggup menyerah kembali kebunnya (yang telah dia berikan kepadamu dahulu sebagai mas kahwinnya?)”. Isteri Thabit menjawab, “Ya.” Rasulullah saw pun berkata kepada Thabit, “Terimalah kebun itu dan cerailah dia dengan satu talak.”

Frasa ayat dan perkataan dalam sabda baginda Rasulullah, iaitu “adakah kamu sanggup menyerah kembali kebunnya (yang telah dia berikan kepadamu dahulu sebagai mas kahwinnya?”, membawa kepada konotasi penafsiran berkenaan kemampuan si isteri untuk mengembalikan mas kahwin yang pernah diterimanya di awal perkahwinan dengan si suami dahulu.

Hanya dengan kesanggupan, yang membawa kepada kemampuan si isteri tadi dalam memulangkan mas kahwin kepada si suami sebagai tujuan mengkhulukkan dirinya.

Dalam senario perkahwinan hari ini, kedapatan ramai di kalangan masyarakat yang tidak mengikut kadar bayaran mas kahwin yang ditetapkan oleh negeri masing-masing. Ada di kalangan masyarakat yang menetapkan mas kahwin mengikut budi bicara sendiri, bahkan ada yang mengikut tren semasa iaitu mas kahwin dalam bentuk harta alih, seperti sebentuk cincin atau seutas rantai ataupun gelang tangan mahupun gelang kaki.

Justeru, khuluk tidak semestinya dibayar oleh isteri kepada suami mengikut jenis atau kadar nilai mas kahwin.

Secara tegasnya, khuluk itu harus dibayar dengan harta benda, tunai atau berhutang, atau dengan sesuatu yang memberi faedah dan manfaat. Dengan erti kata lain, setiap barang yang harus dijadikan mas kahwin, harus pula dijadikan pembayaran dalam khuluk.

Namun demikian, ianya bergantung kepada kemampuan si isteri tadi. Ini kerana sekalipun mungkin nilaian mas kahwin tadi rendah atau murah, namun sekiranya didapati si isteri tidak mampu untuk memberikan kepada suami sebagai tujuan untuk mengkhulukkan dirinya, maka si isteri tadi tidaklah patut dibebani dengan nilaian mas kahwin tadi atau yang setara dengannya.

Ini kerana, tiada isteri yang mahu mengkhulukkan dirinya seandainya perkahwinan dengan suaminya itu tadi membawa kebahagian, pastilah ada sebarang tekanan yang di hadapi oleh si isteri tadi disebabkan oleh sikap atau perilaku si suami yang menyebabkan si isteri tidak mampu untuk berterusan menanggung tekanan hidup dengan si suami.

Bukankah suami itu adalah pemimpin kepada isteri dan ahli keluarganya, sebagaimana maksud firman Allah swt dalam surah al Nisa ayat 34,

“Kaum lelaki itu pemimpin wanita, oleh sebab Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan kerana lelaki telah menafkahkan harta mereka.”

Justeru, bila berlaku keadaan si isteri itu mengkhulukkan dirinya, pastilah si suami tadi sudah tidak mampu untuk menjadi pemimpin isteri dalam rumah tangga mereka yang membawa kepada ketidaksefahaman dan pecah belah di antara kedua suami isteri ini tadi.

Oleh yang demikian, dalam soal nilaian bayaran iwad, iaitu tebusan, si isteri tidak harus dibebani dengan kadar bayaran yang tidak mampu ditanggung olehnya. Sebagaimana maksud umum firman Allah swt dalam surah al Baqarah, ayat 233, iaitu,

“...tidak dibebani seseorang itu melainkan setakat kemampuannya.”

Sedangkan apa yang berlaku adalah juga disebabkan oleh sikap dan perilaku suami yang sudah tidak mampu untuk memegang amanah dan tanggungjawab sebagai seorang suami yang sewajarnya dalam konteks Hukum Syarak.

@ Jumlah Bayaran

Ayat 229 surah al Baqarah menjadi dasar hukum perceraian secara khuluk dan penerimaan iwad, iaitu bayaran tebus talak (khuluk).

Di mana perceraian melalui khulu ini memerlukan kepada sejumlah bayaran yang dibayar oleh isteri kepada suami bagi tujuan melepaskan dirinya daripada ikatan perkahwinan tersebut.

Bayaran ini juga menjadi elemen yang penting kerana ianya merupakan inti pati kepada perceraian. Dalam hal ini, seorang suami yang sememangnya mahukan perceraian adalah tidak boleh mengambil bayaran daripada isterinya. Bahkan, seandainya si suami berbuat demikian, perbuatan suami sedemikian adalah haram, kerana suami itu telah merampas harta isterinya dengan memaksa isteri tersebut membayar wang tebus talak, iaitu secara sengaja tidak melaksanakan kewajipan dan menyakiti isteri tersebut.

Firman Allah swt dalam surah al Nisa, ayat 20, iaitu yang bermaksud,

“Dan jika kamu hendak mengambil isteri baharu menggantikan isteri lama yang kamu ceraikan sedangkan kamu telahpun memberikan kepada seorang antara isteri yang kamu ceraikan itu harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikit pun daripada harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan yang menyebabkan dosa yang nyata?”

Secara umumnya, bolehlah dikatakan bahawa, bayaran yang diperlukan untuk khuluk ialah sejumlah bayaran yang telah dibayar oleh suaminya semasa aqad perkahwinan sebagaimana maksud hadis yang diriwataykan di atas. Apa yang penting ialah terdapatnya sejumlah bayaran yang hendaklah dibuat bagi membolehkan perceraian melalui khuluk berlaku. Ini merupakan antara pandangan masyhur daripada beberapa mazhab dalam membezakan perceraian melalui khuluk dan talaq.

@ Persetujuan Suami dalam Perceraian Secara Khuluk

Selanjutnya, timbul persoalan sama ada kaedah pembubaran melalui khuluk ini memerlukan atau tidak persetujuan pihak suami untuk membolehkan mahkamah membubarkan perkahwinan tersebut?

Seandainya diteliti semula rantaian perkataan pada ayat kedua yang disabdakan oleh baginda Rasulullah, iaitu, “terimalah kebun itu dan cerailah dia dengan talak satu.”

Justeru, tidak timbul tentang persoalan kepada keperluan persetujuan pihak suami dalam menerima perceraian melalui khuluk oleh pihak isteri.

Dalam hal ini, para sarjana mengemukakan pandangan bahawa ulama berselisih pendapat sama ada persetujuan suami adalah perlu dalam perceraian melalui khuluk. Perselisihan ini berlaku disebabkan oleh tafsiran kepada hadith di mana baginda Rasulullah saw memerintahkan Thabit mengambil kebun dan menceraikannya isterinya, sebagaimana perihal hadith di atas. Ada yang berpendapat perintah tersebut tidak bermaksud satu kewajipan, tetapi lebih bersifat moral. Manakala, majoriti ulama berpendapat perintah tersebut adalah suatu kewajipan yang wajib dipatuhi jika sudah tidak ada harapan untuk berbaik semula.

@ Khuluk dari segi konteks peruntukan perundangan

Di Malaysia, sebagaimana pandangan para sarjana undang-undang keluarga Islam bahawa kebanyakan kes melibatkan shiqaq diselesaikan melalui pelantikan dua orang hakam yang berakhir dengan pembayaran daripada pihak isteri kepada suami dan suami menjatuhkan talak kepada isteri dengan memberikan penekanan kepada persetujuan bersama dan bukan melalui kuasa hakim, sebagaimana kes Che Pah lwn Siti Rahmah (1976) 2 JH 244 dan kes Nerat lwn Ahmad (1965) 3 JH 101.

Undang-undang Keluarga Islam dikesemua negeri, masing-masing ada memperuntukkan mengenai perceraian melalui tebus talak ini, misalnya di Wilayah Persekutuan, melalui seksyen 49 (1), iaitu,

49. Perceraian khul’ atau cerai tebus talaq.

(1)        Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talaq dengan kerelaanya sendiri, tetapi pihak-pihak itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau cerai tebus talaq, Mahkamah hendaklah selepas jumlah bayaran tebus talaq dipersetujui oleh pihak-pihak itu, mengarahkan suami itu melafazkan perceraian itu dengan cara penebusan, dan perceraian itu adalah ba’in sughra atau tidak boleh dirujuk.

Peruntukan di atas jelas meletakkan persetujuan pihak-pihak untuk membolehkan perkahwinan tersebut dibubarkan.

Sekiranya suami tidak bersetuju untuk bercerai walaupun melalui pembayaran, maka peruntukan di bawah seksyen 47 adalah terpakai, iaitu prosedur perlantikan Jawatankuasa Pendamai atau hakam. Di bawah prosedur ini, selalunya prosiding perceraian akan mengambil masa melainkan pihak-pihak memberikan kerjasama yang baik, maka prosiding prosedur ini boleh selesai dalam tempoh kurang dari 6 bulan, berdasarkan pengalaman para pengamal undang-undang syariah.

Menurut para sarjana undang-undang keluarga Islam, perceraian melalui khuluk atau tebus talaq ini dilihat tidak boleh menjadi remedi yang berkesan buat si isteri. Justeru, menurut pandangan mereka, pendekatan yang dipakai di negara-negara Islam yang lain seperti di Pakistan dan Mesir yang memberi kuasa mutlak kepada mahkamah dan isteri boleh mendapatkan perceraian melalui khul’ tanpa persetujuan suami adalah lebih praktikal.

Dan sebenarnya, inilah maksud sebenarnya hadis yang diriwayatkan oleh al Bukhari yang disabdakan oleh baginda Rasulullah saw yang berbunyi,

“terimalah kebun itu dan cerailah dia dengan talak satu.”

Sebab tiada pula diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah ada bertanyakan tentang persetujuan Tsabit sama ada Tsabit tersebut bersetuju atau tidak menerima kebun yang dikembalikan oleh isterinya, Jamilah, sebagai bayaran mengkhulukan dirinya daripada menjadi isteri Tsabit tersebut.

Para sarjana melihat bahawa tidak dinafikan, persetujuan pihak-pihak yang  terlibat adalah cara yang terbaik dalam proses perceraian. Walau pun sebenarnya, ianya bukanlah suatu isu penting, ini kerana banyak perceraian yang direkodkan tidak memerlukan kepada persetujuan pihak isteri dalam kes perceraian itu dimulakan oleh suami, bahkan kerana itulah ada dikalangan suami yang menceraikan isteri dalam keadaan isteri mengandung, lafaz talaq di luar mahkamah dan lafaz talaq melalui media sosial. Apakah semasa suami melafazkan talaq di dalam situasi di atas, persetujuan isteri ada ditanyakan? Pastinyalah, tidak! Disebabkan ini juga kes perceraian itu semakin meningkat sebagaimana dalam suatu statistik yang dibuat oleh para sarjana bahawa setiap 15 minit ada sahaja pasangan suami isteri yang bercerai!

G  Kesimpulan

Hakikatnya, selain daripada fasakh seorang isteri itu masih mempunyai remedi tambahan untuk melepaskan dirinya daripada perkahwinan yang dibina andainya dalam menjalani tanggungjawab sebagai seorang isteri itu sudah tidak ada kebaikannya kepada agama dan masa depan si isteri tersebut sekalipun mungkin si isteri masih sayangkan perkahwinan tersebut.

Secara realtinya, dalam pengamalan undang-undang keluarga Islam, didapati bahawa perceraian melalui tebus talak atau khuluk ini tidak boleh difailkan atau dimohon tanpa terlebih dahulu memohon perceraian secara persetujuan bersama di bawah seksyen 47 undang-undang keluarga Islam sebagaimana yang diperuntukkan di setiap negeri.

Sedangkan sekiranya difahami maksud peruntukan di bawah seksyen 49 tersebut, secara keseluruhannya, isteri itu boleh memfaraqkan perkahwinannya itu tadi melalui cara perceraian tebus talaq atau khuluk ini tanpa perlu memohon perceraian di bawah seksyen 47 tersebut. Dalam erti kata lain, permohonan boleh dibuat secara terus di bawah seksyen 49 ini.

Manakala, dalam konteks pembayaran dan kadar bayaran, ‘campur tangan’ mahkamah dalam mentaksirkan kadar dan jumlah bayaran yang patut dan munasabah adalah dilihat sebagai suatu yang wajar dan praktikal bagi mengelakkan kemudaratan di pihak isteri apabila berlaku keadaan suami tidak menyetujui kadar pembayaran yang mampu diberikan oleh pihak isteri. Mahkamah dalam hal ini boleh menaksirkan jumlah tersebut mengikut Hukum Syarak dengan memberi pertimbangan kepada taraf dan sumber kewangan pihak-pihak, sebagaimana peruntukan di bawah seksyen 49 (3).

Justeru, kesimpulannya, pembayaran khuluk itu haruslah berdasarkan pertimbangan kemampuan seorang isteri dalam membuat pembayaran iwad kepada si suami dalam melepaskan dirinya daripada perkahwinan bersama suami tersebut.


Manakala, berkenaan persetujuan suami dalam konteks perceraian secara khuluk ini, ianya adalah suatu yang terbuka kepada penghujahan luas pihak-pihak yang terlibat dalam permohonan perceraian secara khuluk ini. Walau bagaimanapun, sebagaimana maksud hadis yang diriwayatkan oleh al Bukhari tersebut, ianya adalah suatu yang straight to point untuk difahami bahawa baginda Rasulullah tidak meletakkan syarat sama ada Tsabit iaitu suami kepada Jamilah, iaitu seorang perempuan yang membawakan permasalahan perkahwinannya kepada Rasulullah pada masa itu, bersetuju atau tidak kepada pengembalian balik kebunnya oleh Jamilah sebagai jumlah yang dipersetujui untuk memfaraqkan perkahwinan keduanya melalui tebus talak atau khuluk.

Perkahwinan itu, bukan soal rasa dan perasaan semata-mata, namun ianya adalah soal iman dan ketaqwaan. Tidaklah Allah swt itu menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia tanpa hikmah. Sesungguhnya, hikmah terbesar dalam perkahwinan seorang lelaki dan perempuan itu adalah tentang soal agama, kerana perkahwinan itu melibatkan soal Hukum Syarak dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai seorang suami dan isteri.

Perceraian dalam bentuk prosedur apa sahaja adalah tentang soal pilihan, dan bukan eskapism dalam memikul amanah dan tanggungjawab di sebalik ijab dan qabul lafaz ‘aku terima nikahnya’.

@ Rujukan

a.       Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, Akta 303;
b.         Soal Jawab A – Z Tentang Munakahat, Datuk Dr. Hj Zahazan Mohamed;
c.         Undang-undang Keluarga (Islam) Najibah Mohd Zin; dan
d.         Kes-kes yang direkodkan


Khamis, 1 Jun 2017

Semakan Kehakiman di Mahkamah Syariah : Prosedur dan Pengamalannya
Oleh : Roslinah Mahmud
Peguam Syarie Wilayah Persekutuan

G  Semakan : Definisi, Konsep, Peruntukan Perundangan dan Pengamalannya

@  Konsep Semakan Kehakiman dalam Sejarah Perundangan Islam

Sejarah perundangan Islam memperlihatkan bahawa kuasa semakan atau dipanggil murajaah telah ada dipratikkan oleh para sahabat baginda Rasulullah saw di awal perkembangan institusi kehakiman Islam. Di dalam kitab fiqh al-Sunnah, karangan Sayyid Sabiq (Dar al-Bayan, 1971, j. 3, ms. 407) ada meriwayatakan bahawa Abu Saur dan Dawud pernah mengatakan sesuatu keputusan yang ternyata salah, boleh dibatalkan kerana sesuatu kesalahan itu wajib diperbetulkan.

Bahkan, mengikut al-Imam al-Mawardi di dalam kitab al-Ahkam al-Sultaniah, Sayidina Umar al-Khattab pernah berkata:-

“Tidak ada halangan bagimu, untuk memeriksa dengan akalmu dan mempertimbangkan dengan petunjukmu keputusan yang telah engkau putuskan pada hari ini agar engkau sampai kepada kebenaran. Kerana sesungguhnya kebenaran itu harus dilaksanakan. Dan kembali kepada kebenaran itu lebih baik dari berpanjangan dalam kebatilan.”

Mengikut pandangan Sayidina Umar al-Khattab, dapatlah difahami bahawa semakan tersebut adalah diharuskan dengan tujuan untuk mengembalikan kepada kebenaran mahkamah juga.

Al-Sheikh al-Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj, jil 6, ms. 307, cetakan al-Maktabah al-Taufiqiah menyebut:

“Dan apabila seseorang hakim telah membuat sesuatu keputusan dengan ijtihadnya dan kemudian nyata hukumnya bersalahan dengan nas al-Quran atau Sunnah, ijma atau qias yang nyata maka hendaklah ia membatalkan hukumannya itu sendiri atau membatalkannya oleh orang lain.”

Menurut Ibn Abidin, qadi boleh menyemak semula hukuman yang telah diputuskan apabila terdapat perkara-perkara berikut:

a.             apabila hukuman yang diputuskan oleh seseorang qadi semata-mata berdasarkan pengetahuannya mengenai fakta kes tersebut tanpa sebarang bukti yang lain, kemudian ternyata bahawa perkara tersebut tidak jelas.

b.             apabila ternyata kepada pihak qadi mengenai kesilapan yang berlaku disebabkan keterangan atau pengakuan yang diberi oleh kedua belah pihak.

c.             apabila hukuman itu berlawanan dengan pendapat mazhabnya.

Suatu kenyataan yang jelas tentang penyemakan hukuman ini boleh dilihat dalam prinsip-prinsip dasar perbicaraan yang telah dikeluarkan oleh Sayidina Umar al-Khattab sewaktu mentauliahkan Abu Musa al-Ashyari sebagai qadi (Risalah al-Qada), iaitu :

“Tidak ada tegahan bagi kamu untuk memperbetulkan hukuman yang telah diputuskan kelmarin sekira ternyata kebenarannya, kembalilah kepada kebenaran kerana ianya lebih baik dari terus bergelumang dengan kebatilan.”

@  Konsep Semakan dalam konteks perundangan semasa

Manakala, dalam konteks konsep perundangan semasa, semakan merupakan di antara proses pengawasan lain oleh mahkamah yang lebih tinggi, selain daripada rayuan.

Mahkamah Tinggi Syariah misalnya, diberi kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas semua Mahkamah Rendah Syariah, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah. Bidang kuasa yang sama juga berlaku kepada Mahkamah Rayuan Syariah yang turut mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas semua Mahkamah Tinggi Syariah. Ini sebagaimana mengikut peruntukan enakmen atau akta pentadbiran undang-undang Islam negeri masing-masing.

Tidak terdapat peruntukan yang khusus yang membezakan di antara semakan ke Mahkamah Tinggi Syariah atau ke Mahkamah Rayuan Syariah. Walau bagaimanapun, pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengeluarkan arahan amalan no. 13 tahun 2003 berkenaan peraturan semakan. Peraturan semakan kes di Mahkamah Tinggi Syariah atau di Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mengikut peraturan seperti berikut:-

a.             permohonan semakan boleh dibuat ke atas kes mal atau jenayah sama ada kes yang dalam prosiding atau yang telah diputuskan;

b.             permohonan semakan kes oleh pihak-pihak hendaklah dibuat melalui Notis Permohonan bersama Afidavti kecuali permohonan oleh Hakim Syarie;

c.             pihak-pihak yang menerima keputusan dan mempunyai hak merayu adalah tidak digalakkan memohon semakan.

Proses semakan ini sebenarnya lebih cenderung diperuntukkan kepada hakim bicara apabila merasakan keputusannya telah silap dan perlu diperbetulkan.

@  Peruntukan Perundangan berkenaan Permohonan Semakan

Sebagaimana penjelasan di atas bahawa Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan yang tertakluk kepada peraturan sebagaimana yang diperuntukkan di dalam arahan amalan sebagaimana yang disebutkan di atas.

Tidak ada suatu peruntukan yang menyatakan bagaimana prosedur semakan di mahkamah syariah perlu dibuat. Ianya tidak sebagaimana prosedur semakan di mahkamah sivil. Ini kerana perkara berkenaan semakan kehakiman di mahkamah sivil mempunyai peruntukan yang tersendiri, iaitu melalui Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Semakan Kehakiman di Mahkamah Sivil ialah suatu proses di mana keputusan yang dibuat oleh agensi-agensi kerajaan atau kerajaan boleh dicabar di Mahkamah Tinggi oleh pihak yang terjejas. Pada dasarnya, mahkamah dalam permohonan semakan kehakiman adalah berkenaan dengan kesahihan proses membuat keputusan eksekutif dan bukan dengan merit keputusan itu. Secara umumnya, alasan bagi semakan kehakiman adalah menyalahi undang-undang, tidak munasabah atau tidak rasional, dan ketidakwajaran prosedur dalam keputusan atau proses membuat keputusan.

Aturan 53 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012, menetapkan satu proses dua peringkat untuk semakan kehakiman. Pemohon mestilah terlebih dahulu mendapat kebenaran mahkamah untuk memohon semakan kehakiman. Sesuatu permohonan untuk kebenaran hendaklah dibuat dalam tempoh 3 bulan dari tarikh keputusan itu hendak dicabar disampaikan kepada pemohon. Walaupun permohonan untuk kebenaran adalah permohonan ex-parte, peguam negara mestilah disampaikan dan boleh menentang permohonan itu.

Permohonan untuk semakan kehakiman akan didengar berdasarkan merit di hadapan semua pihak.

Justeru, persoalan timbul, bagaimana prosedur semakan di mahkamah syariah dibuat? Berapa lama tempoh masa semakan ini perlu dikemukakan ke mahkamah? Sama ada terdapat keperluan kepada kebenaran untuk menyemak sebagaimana kebenaran untuk merayu? Di mana perkara berkenaan kebenaran untuk merayu ini mempunyai peruntukannya yang tersendiri. Seksyen 14 di dalam Enakmen Mahkamah Syariah (Sabah) tahun 2004 misalnya, memperuntukkan mengenai kebenaran untuk merayu. Begitu juga hal keadaanya dengan mana-mana negeri yang lain yang mempunyai peruntukan yang sama mengenai kebenaran untuk merayu.

Walau bagaimanapun, tidak terdapat apa-apa peruntukan mengenai kebenaran untuk menyemak. Namun, melalui pengamalan, peruntukan berkenaan kebenaran untuk merayu telah digunapakai dalam konteks permohonan untuk menyemak. Justeru, kedapatannya mana-mana pihak berkepentingan yang merasakan terdapatnya keperluan untuk menyemak semula apa-apa keputusan atau perintah mahkamah, maka kebenaran diperlukan untuk menyemak.

Bahkan, tidak terdapat apa-apa jua peruntukan mengenai berapa lama tempoh masa permohonan semakan ini perlu difailkan ke mahkamah? Apa yang ada cuma peraturan semakan sebagaimana Arahan Amalan No. 13 Tahun 2003.

Oleh yang demikian, prosedur semakan kehakiman di mahkamah syariah adalah sebagaimana prosedur rayuan di mahkamah syariah.

@  Prosedur Semakan Kehakiman di Mahkamah Syariah

Sebagaimana peruntukan di dalam permohonan untuk merayu, Mahkamah Rayuan Syariah boleh atas permohonan mana-mana pihak memberikan kebenaran bagi pemutusan olehnya sendiri apa-apa persoalan undang-undang berkepentingan awam yang telah timbul dalam perjalanan rayuan itu dan yang keputusannya oleh Mahkamah Tinggi Syariah telah menyentuh keputusan rayuan itu. Ini sebagaimana yang diperuntukkan, sebagai contoh, di dalam Enakmen Mahkamah Syariah (Sabah) 2004, seksyen 17. Peruntukan yang sama di kesemua negeri di Malaysia.

Justeru, kebenaran diperlukan apabila mana-mana pihak yang berkepentingan hendak merayu. Begitu jugalah hal keadaannya apabila ada mana-mana pihak yang berkepentingan merasakan adanya keperluan untuk menyemak semula mana-mana keputusan mana-mana mahkamah, maka kebenaran untuk menyemak adalah diperlukan.

@  Permohonan Kebenaran untuk menyemak

Sebagaimana, permohonan kebenaran untuk merayu yang hendaklah dibuat dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh penghakiman, perintah atau keputusan atau dalam keadaan apabila pemohon tidak mengetahui dan tidak dengan menjalankan usaha yang munasabah untuk mengetahuinya mengenai tarikh penghakiman, perintah atau keputusan, maka permohonan kebenaran untuk merayu tersebut bolehlah dibuat dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh penghakiman, perintah atau keputusan itu, sampai kepengetahuannya. Maka, begitu jugalah hal keadaannya bagi permohonan kebenaran untuk menyemak.

Dan apabila mahkamah tinggi atau mahkamah rayuan mendengar permohonan bagi kebenaran untuk menyemak, maka mahkamah-mahkamah tersebut boleh atas alasan khas melanjutkan masa untuk merayu, walaupun masanya telah habis tempoh.

Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan ‘alasan khas’ tersebut?

@  Rujukan Keputusan Kes Terdahulu

Agak sukar untuk mendapatkan keputusan kes permohonan untuk kebenaran perlanjutan masa menyemak di mahkamah syariah, bagi dijadikan rujukan, kerana agak jarang kes permohonan semakan ini difailkan di mahkamah syariah.

Justeru, terdapat keperluan mendesak untuk merujuk kepada keputusan kes di bawah perundangan sivil berkenaan isu permohonan untuk kebenaran perlanjutan tempoh masa ini.

Terdapat 2 kes yang menggariskan prinsip berkenaan dengan ‘kebenaran’ ini seperti berikut.

Dalam kes Pang Hon Chin v Nathat Singh (1986) 2 MLJ 145, hakim Edgar Joseph Jr. (hakim pada masa itu), menyatakan bahawa,

“The circumstances in which leave ... will be granted would include cases where the applicant is able to demonstrate a prime facie case of error or if the question is one of general principle decided for the first time or a question of importance upon which further argument and a decision ... would be to public advantage.”

Manakala, dalam satu lagi kes yang lain, iaitu kes United Oriental Assurance Sdn. Bhd. v. Penang Medical Centre Sdn. Bhd. (1999) 2 AMR 1589, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa,

“... leave ... to the Court of Appeal could only be given where the applicant was able to demonstrate a prime facie case of error in the finding of the lower court.”

Selanjutnya, terdapat beberapa kes sivil lain yang diputuskan yang turut menggariskan berkenaan dengan ‘kebenaran lanjut tempoh masa’ ini.

Misalnya, dalam kes Safety Insurance Co Ltd v Wong Choo Yong (1971) 1 MLJ 167, di mana mahkamah menyatakan bahawa,

“An application for leave to extend time to succeed, the applicant must show merits of his appeal in his affidavit.”

Dalam kes yang lain pula iaitu, dalam kes Cheah Teong Tat v Ho Gee Seng & Ors (1974) 1 MLJ 31, mahkamah menyatakan bahawa,

“It is trite law that the applicant must show special circumstances upon which the court could exercise its discretion to extend or enlarge the time to file notice of appeal.”

Manakala, dalam kes Re Coles & Ravenshear (1907) 1 KB 1, mahkamah dalam keputusannya menyatakan bahawa,

Special circumstances will include instances where the applicant has been misled by the other side or where some mistake has been made in the registry itself and he was misled by an officer of the court or where delay in filing notice has been caused by unforeseen circumstances like sudden death or inevitable accident or sudden serious illness or something of that kind which reasonably account for the delay.”

Selanjutnya, dalam kes Chin Hua Sawmill Co Sdn Bhd v Tuan Yusof bin Tuan Mohamed (1974) 1 MLJ 58, Mahkamah Agung menyatakan bahawa,

“...failure to serve the notice of appeal on the respondent within the prescribed period of one month precluded the applicant from appealing unless special leave of the court was granted.”

Sementara dalam satu kes yang lain pula, iaitu dalam kes Abdul Majeed v Yeo Chng Tay (1964) MLJ 75, menyebutkan bahawa,

“...’special leave’ means leave to be granted on account of special circumstances.”

Sementara itu, terdapat 2 kes mahkamah syariah yang ada memutuskan dan membincangkan berkenaan isu semakan dan konsep perlanjutan tempoh masa ini.

Dalam kes Mohammed Azmi bin Mohd Said lwn. Mysarah Hifaa’ Zafirah binti Mohamad Zain, kes Mal no. 05100-003-0245 tahun 2009 (tidak direkodkan), ada membincangkan berkenaan konsep semakan ini. Antara inti pati konsep semakan yang disentuh di dalam kes ini ialah, berkenaan tentang keperluan kepada sesuatu permohonan semakan dan pihak yang berkelayakan untuk memohon permohonan semakan ini.

Manakala dalam suatu kes yang lain, iaitu dalam kes Sharifah Badariah bt. Mari dengan Yasran b. Haji Hussain, permohonan no. 10000-099-0005-2009 (tidak direkodkan), mahkamah ada membincangkan mengenai konsep permohonan perlanjutan tempoh masa. Di mana di dalam kes ini, Yang Arif Hakim merujuk kepada suatu kes sivil yang menggariskan mengenai prinsip perlanjutan tempoh masa.

Yang Arif Hakim, merujuk kepada kes Scott & English (M) Sdn. Bhd. lwn. Leike Refrigeration & Stainless Steel Industries Sdn. Bhd. & 2 Ors. [1994] 3 CLJ 114, yang memutuskan bahawa,

“Kebenaran untuk melanjutkan masa rayuan adalah merupakan budi bicara mahkamah dan mahkamah di dalam melaksanakan budi bicaranya akan mengambil kira tempoh kelewatan, alasan kepada kelewatan, kebarangkalian untuk rayuan tersebut dibenarkan dan juga tahap prejudis kepada responden jika permohonan untuk lanjutan dibenarkan, kesilapan peguam, bentuk dan keadaan ianya telah dilakukan juga adalah merupakan satu faktor yang perlu dipertimbangkan.

                Walaupun, faktor ini hanyalah bentuk panduan bagi tujuan melaksanakan budi bicara tersebut dan tidak bermaksud menjadi satu keperluan bahawa semua faktor perlu menyebelahi pihak pemohon di dalam melaksanakan kuasa budi bicara tersebut.”

@  Perbincangan dan Kesimpulan

Oleh yang demikian, konsep semakan kehakiman di mahkamah syariah ini walaupun agak jarang dari segi pengamalan, namun ianya tidak bermaksud konsep semakan ini sesuatu yang agak ganjil dikalangan pengamal undang-undang syariah.

Justeru, sekalipun mungkin tiada peruntukan khusus berkenaan prosedur semakan ini, namun ianya tidak bererti permohonan semakan ini boleh dimohon tanpan panduan yang sewajarnya. Iini kerana undang-undang syariah menerima pakai dengan penuh hormat mana-mana peruntukan daripada undang0undang sivil selangi tidak menyalahi Hukum Syarak.

@  Rujukan

a.             Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam
b.             Enakmen Tatacara Mal
c.             Kitab-kitab Syariah yang muktabar
d.            Kes-kes yang diputuskan